Tuesday, July 31, 2007

Rayzam, Nabihah Terima Anugerah MSSM-Milo 2007



KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Atlet lompat pagar negara Rayzam Shah Wan Sofian dan gimnas artistik Nabihah Ali dimahkotakan sebagai Putera Sukan dan Puteri Sukan MSSM-Milo 2006.

Rayzam, layak ke pusingan separuh akhir Kejohanan Remaja Dunia IAAF di Beijing, China, tahun lepas dan memenangi pingat perak pada Kejohanan Atletik Remaja Asia di Macau tahun lepas.

Nabihah merupakan pemenang enam pingat emas di Kejohanan Gimnastik Artistik Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dan memenangi tiga pingat perak pada Kejohanan Gimnastik Sekolah Asia di Manila, Filipina tahun lepas.

Bagaimanapun kedua-dua mereka tidak hadir pada majlis penyampaian anugerah yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar di sini hari ini.

Rayzam sedang menyertai Kejohanan Trek dan Balapan Asia di Amman, Jordan sementara Nabihah sedang menjalani latihan di China.

"Saya berharap pemenang pelbagai anugerah hari ini akan terus cemerlang dalam lapangan yang mereka ceburi. Kita tidak mahu melihat mereka hilang selepas setahun dua mencapai tahap membanggakan dalam pertandingan," kata Noh.

Pemenang kategori Anugerah Khas Putera dan Puteri Sukan, Anugerah Pendidikan Khas Putera dan Puteri, Anugerah Tunas Harapan Putera dan Puteri serta Anugerah Guru Paling Berjasa Lelaki dan Wanita turut menerima anugerah masing-masing.

Noh berkata bagi melahirkan lebih banyak atlet berbakat, Kementerian Pelajaran akan membina tiga lagi sekolah sukan di Pahang, Sabah dan Perlis daripada dua yang ada sekarang iaitu di Bukit Jalil di sini dan Bandar Penawar di Johor.

Senarai Penerima Anugerah:

Anugerah Putera Sukan: Rayzam Shah Wan Sofian (atletik)

Anugerah Puteri Sukan: Nabihah Ali (gimnas artistik)

Anugerah Khas Putera Sukan: Mohd Azizulhasni Awang (basikal)

Anugerah Khas Puteri Sukan: Chai Fong Wei (wushu)

Anugerah Pendidikan Khas Putera: Md Parhan Dahlan (atletik, Fespic)

Anugerah Pendidikan Khas Puteri: Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin (atletik, Fespic)

Anugerah Tunas Harapan Putera: Muhammad Rafiq Ismail (boling)

Anugerah Tunas Harapan Puteri: Yong Sue Ann (skuasy)

Anugerah Guru Berjasa Lelaki: Low Siak San (akuatik)

Anugerah Guru Berjasa Wanita: Foo Wai Choo (sofbol)

No comments:

Post a Comment