Wednesday, March 21, 2001

Anugerah Puteri Sukan MSSM -- Sia Ketuai Senarai Calon


RATU renang negara, Sia Wai Yen mengetuai senarai pencalonan bagi merebut gelaran Anugerah Puteri Sukan (MSSM)/Milo yang akan diadakan di Petaling Jaya pada 29 Mac ini.

Sia begitu cemerlang pada Sukan Malaysia (Sukma) di Pulau Pinang pada tahun lalu apabila berjaya membolot 10 pingat emas pada temasya itu.

Selain Sia turut dicalonkan untuk anugerah ini ialah pemegang rekod kebangsaan, yang juga pemenang pingat emas Sukma bagi acara 200 meter kuak dada, Seow Yi Ting.

Majlis anugerah ini turut mempertandingkan 10 lagi anugerah berkaitan termasuk anugerah khas putera/puteri, anugerah tunas harapan putera/puteri, anugerah guru berjasa lelaki/wanita, anugerah pendidikan khas putera/puteri, anugerah emas dan pemenang putera/puteri negeri untuk dimenangi oleh atlet dan pegawai yang cemerlang.
Kesemua nama calon bagi anugerah sukan ini diumumkan oleh Penolong Ketua Pengarah Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan, Abdullah Yunus pada sidang media di Wisma MOM, Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Pengurus Pemasaran Sukan Nestle, Dina Rizal, anugerah ini merupakan usaha murni syarikat Milo dengan kerjasama MSSM, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam memajukan sukan di negara ini.

``Dengan adanya anugerah ini, ia adalah pemangkin untuk mengalakkan lagi pelajar sekolah yang berbakat memajukan diri sendiri dalam sukan serta mampu bersaing di peringkat tertinggi iaitu Sukan Olimpik,'' katanya.

Antara calon yang disenaraikan untuk menerima anugerah Putera Sukan ialah juara kejohanan Golf Remaja Sirkit Kebangsaan, Ben Leong; Mohd Romzi Muhamad (perahu layar); Yeoh Kin Nee (terjun air); Lancelot Chua Kher Wi (ping pong); Mohd Azheem Bahari (terjun air); Tengku Alias Tengku Ibrahim (bola sepak); Mohd Marzuki Abu Samah (olahraga); Md Razman Zabri (kriket); Mohd Redzuan Nadzar (olagraga); Mohd Hairy Afiq Abdul Nasir (kriket); Fairol Mahazi Malek (ragbi); Syahrul Amri Mohd Suhaimi (olahraga); Muhd Faiz Mohamad (olahraga) dan Lu Ten Jian (boling).


Sementara calon yang menerima anugerah Puteri Sukan pada tahun ini ialah bintang boling muda negara Yazlin Yang Razlan dan diikuti Farhana Azmin (gimrama) Norkiah Madel (olahraga) Siti Safura Ismail (olahraga); Sharon Cahai Siew Hoon (boling); Christine Ong Pei Yee (boling); Che Wan Roziawati Che Wan Ghazali (hoki); Beh Lee Wai (ping pong); Vally Michael (olahraga); Siti Fatimah Ustad Latif (bola jaring) dan Fan Xioa Jun (ping pong)


Hadir sama pada sidang media itu ialah Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi.