PUTRAJAYA, 30 Okt (Bernama) -- Perenang Foo Jian Beng dan penerjun negara Pandelela Rinong hari ini dinobatkan sebagai penerima Anugerah Putera dan Puteri Sukan pada majlis Anugerah Sukan Kementerian Pelajaran-MSSM-Milo 2008.
Antara kejayaan Foo yang melayakkan beliau diumumkan sebagai Putera Sukan sepanjang tahun lepas ialah memenangi pingat emas acara 100m kuak kupu-kupu serta 50m, 100m dan 4x100m gaya bebas pada Kejohanan Renang Sekolah-sekolah Asean serta meraih tiga pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu melalui acara 50m dan 100m gaya bebas serta 50m kuak kupu-kupu.
"Saya berbangga dipilih sebagai penerima anugerah ini. Saya akan jadikan anugerah ini sebagai pemangkin semangat saya pada temasya Sukan SEA Laos, Disember ini.
"Memandangkan ia adalah penyertaan pertama saya dalam Sukan SEA, saya akan cuba meraih pingat emas dalam acara kegemaran saya 100m gaya bebas," kata Foo, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 19 Shah Alam ketika ditemui selepas majlis berkenaan.
Pada majlis berkenaan beliau menerima trofi, pingat, sijil dan hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 daripada Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong.
Foo yang kini giat menjalani latihan di bawah bimbingan bekas perenang negara yang pernah beraksi pada Sukan Olimpik Barcelona, Marilyn Chua, berkata beliau akan menyertai acara 100m dan 50m gaya bebas pada Sukan SEA Laos nanti.
Sementara itu, Pandelela pula terpilih sebagai Puteri Sukan berikutan kejayaan meraih tempat keenam dalam Kejohanan Terjun Dunia FINA ke-16 yang sekaligus melayakkan beliau beraksi pada Sukan Olimpik Beijing dalam acara 10m platform.
Beliau yang sedang menjalani latihan di Kunming, China untuk persiapan menghadapi Sukan SEA diwakili bapanya, Pamg Anak Joheng pada majlis Jumaat.
"Sejak dari darjah satu, Pandelela memang minat dengan sukan renang dan terjun. Saya sentiasa menasihatinya supaya tidak mudah kecewa dan sentiasa kuat semangat. Saya juga mahu dia mencapai kejayaan tertinggi dalam sukan yang diminati itu," kata Pamg.
Turut menerima anugerah pada majlis itu ialah seorang lagi bintang baru acara terjun, Nur Dhabitah Sabri, 10, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya 8 (2) Presint 8 Putrajaya, sebagai penerima Anugerah Tunas Harapan (Puteri).
Kejayaan meraih pingat gangsa acara terjun 3m papan anjal seirama telah menjadikan beliau sebagai pemenang termuda pada Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu tahun lepas.
Bagi Anugerah Tunas Harapan (Putera) pula menjadi milik Yeoh Li Tian, 10, yang melibatkan diri dalam sukan catur.
Pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yuk Chai, Taman Megah, Petaling Jaya, itu pernah meraih tempat ketiga Kejohanan Olimpiad Sekolah Rendah Asean kedua dan Terbuka Antarabangsa Kuala Lumpur serta menjadi johan Kejohanan Remaja Negara dan Kejohanan MSSM Melaka.
Anugerah Pendidikan Khas Puteri pula menjadi milik Tokoh Kanak-kanak Kebangsaan (Kategori Masalah Pembelajaran) dan pemenang pingat emas dan empat perak temasya Sukan Para Asean 2008 di Korat, Thailand, Zainab Mohamad Ashari.
Sementara itu, Muhammad Syafiq Zulfayri Harni menjadi penerima Anugerah Pendidikan Khas Putera.
Turut menerima anugerah pada majlis tahun ini ialah atlet wusyu negara Tai Cheau Xuen (Anugerah Khas Puteri), ekuin negara Muhammad Anas Danial Noradzman (Anugerah Khas Putera), Rozitah Hassan dan Matthew Chin Hiong Choi (Anugerah Guru Berjasa) serta Chua Hong Tham (Anugerah Tokoh Sukan - Kepimpinan).
-- BERNAMA
Showing posts with label Bernama. Show all posts
Showing posts with label Bernama. Show all posts
Friday, October 30, 2009
Tuesday, July 31, 2007
Rayzam, Nabihah Terima Anugerah MSSM-Milo 2007
KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Atlet lompat pagar negara Rayzam Shah Wan Sofian dan gimnas artistik Nabihah Ali dimahkotakan sebagai Putera Sukan dan Puteri Sukan MSSM-Milo 2006.
Rayzam, layak ke pusingan separuh akhir Kejohanan Remaja Dunia IAAF di Beijing, China, tahun lepas dan memenangi pingat perak pada Kejohanan Atletik Remaja Asia di Macau tahun lepas.
Nabihah merupakan pemenang enam pingat emas di Kejohanan Gimnastik Artistik Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dan memenangi tiga pingat perak pada Kejohanan Gimnastik Sekolah Asia di Manila, Filipina tahun lepas.
Bagaimanapun kedua-dua mereka tidak hadir pada majlis penyampaian anugerah yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar di sini hari ini.
Rayzam sedang menyertai Kejohanan Trek dan Balapan Asia di Amman, Jordan sementara Nabihah sedang menjalani latihan di China.
"Saya berharap pemenang pelbagai anugerah hari ini akan terus cemerlang dalam lapangan yang mereka ceburi. Kita tidak mahu melihat mereka hilang selepas setahun dua mencapai tahap membanggakan dalam pertandingan," kata Noh.
Pemenang kategori Anugerah Khas Putera dan Puteri Sukan, Anugerah Pendidikan Khas Putera dan Puteri, Anugerah Tunas Harapan Putera dan Puteri serta Anugerah Guru Paling Berjasa Lelaki dan Wanita turut menerima anugerah masing-masing.
Noh berkata bagi melahirkan lebih banyak atlet berbakat, Kementerian Pelajaran akan membina tiga lagi sekolah sukan di Pahang, Sabah dan Perlis daripada dua yang ada sekarang iaitu di Bukit Jalil di sini dan Bandar Penawar di Johor.
Senarai Penerima Anugerah:
Anugerah Putera Sukan: Rayzam Shah Wan Sofian (atletik)
Anugerah Puteri Sukan: Nabihah Ali (gimnas artistik)
Anugerah Khas Putera Sukan: Mohd Azizulhasni Awang (basikal)
Anugerah Khas Puteri Sukan: Chai Fong Wei (wushu)
Anugerah Pendidikan Khas Putera: Md Parhan Dahlan (atletik, Fespic)
Anugerah Pendidikan Khas Puteri: Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin (atletik, Fespic)
Anugerah Tunas Harapan Putera: Muhammad Rafiq Ismail (boling)
Anugerah Tunas Harapan Puteri: Yong Sue Ann (skuasy)
Anugerah Guru Berjasa Lelaki: Low Siak San (akuatik)
Anugerah Guru Berjasa Wanita: Foo Wai Choo (sofbol)
Labels:
Bernama,
Fong Wei,
MSSM- Milo Award,
Nabihah Ali,
news-article
Subscribe to:
Posts (Atom)

