Marina, gadis cantik yang memilih untuk memanfaatkan zaman remajanya berbakti kepada negara dalam bidang sukan. |
Marina, gadis cantik yang memilih untuk memanfaatkan zaman remajanya berbakti kepada negara dalam bidang sukan. |
Marina dan pelajarnya dalam program Milo's Go Further Camps. |
Pengetua Sekolah Sukan Bukit Jalil ini tidak pernah terduga bakal terlibat dalam dunia sukan sekali gus menyandang gelaran olahragawati Malaysia, namun, menyedari diri berkebolehan dalam bidang ini, beliau memutuskan untuk memanfaatkan zaman remajanya demi mengharumkan nama negara.
Dalam masa sama, keghairahan mengejar cita-cita sebagai cikgu tidak pernah luntur dan dikejar, meskipun terlalu sibuk dengan jadual latihan sukan dan pertandingan.
"Penglibatan dalam sukan telah membantu dalam pembangunan karakter saya. Sebelum menceburi bidang sukan, saya pemalu. Sukan mengajar saya pelbagai nilai murni yang tidak dapat dipelajari daripada buku sahaja.
“Cita-cita dan tanggungjawab kepada negara berjalan seiring. Saya gembira kerana saya memperoleh kedua-duanya. Sebab itu, selepas mengambil alih sebagai pengetua saya terapkan nilai keseimbangan antara sukan dan akademik kepada pelajar-pelajar." kata bekas cikgu Pendidikan Jasmani dan Bahasa Inggeris ini.
Cabaran tadbir sekolah sukan
Sistem pembelajaran sekolah sukan sama seperti sekolah biasa yang menyenaraikan mata pelajaran wajib. Mereka diberikan fleksibiliti menerusi pembelajaran berdasarkan modul, di mana pelajar boleh membawa modul itu ke mana-mana mereka pergi termasuk ketika latihan atau temasya luar negara.
Ternyata, pendekatan diambil Marina membolehkan 467 pelajarnya menyusun waktu belajar lebih sistematik.
“Waktu belajar juga fleksibel. Pada malam Isnin, Selasa dan Rabu ada kelas malam dari jam 8.30 hingga 9.50 malam. Sabtu Ahad juga akan ada kelas gantian.
Pelajar yang terlibat dengan kejohanan pula akan diberi kelonggaran mengambil peperiksaan sebelum atau selepas kejohanan. Tiada pengecualian. Malah, sekiranya kejohanan di luar negara, pihak sekolah akan aturkan guru untuk pergi ke tempat latihan mereka agar tidak ketinggalan dalam pelajaran,” katanya.
Anugerah sukan dan akademik peringkat sekolah
Ditanya bagaimana beliau mendorong para pelajarnya memperoleh keputusan cemerlang dalam kedua-dua bidang, Marina berkata, sekolah menyediakan anugerah bulanan dan tahunan.
“Sekolah juga bekerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mengadakan majlis Anugerah Gemilang yang diadakan setiap tahun.” katanya.
Bagi pelajar yang mewakili Malaysia dan wakil negeri dalam Sukan Malaysia (SUKMA) juga diberikan ganjaran lain. Bagi Marina, ini adalah perubahan mengikut zaman.
“Zaman saya dulu semuanya sendirian berhad. Nak pergi latihan pun kena duit sendiri. Inisiatif sendiri. Tapi semangat bersukan tu tinggi jadi kami tak pentingkan soal kewangan. Selagi boleh sara sendiri, saya sara diri sendiri. Ada masanya bapa turut membantu. Pada zaman sekarang tak boleh.
" Saya ingin berterima kasih kepada jenama korporat seperti MILO kerana banyak memberi sumbangan kepada kanak-kanak Malaysia untuk berjaya dalam bidang sukan.Sokongan yang diberikan oleh MILO turut membantu membakar semangat pelajar kami untuk terus berjaya dalam sukan,” sambungnya.
Zaman kanak-kanak paling indah
Berkongsi cerita di zaman kanak-kanaknya, Marina dengan mesra berkata, beliau bercita-cita menjadi cikgu dan kerana itulah sejak kecil, beliau selalu menjadi cikgu kepada kawan-kawan sekampung di Sentul, Kuala Lumpur.
“Masa kecil saya memang tomboi sedikit. Tubuh badan saya tinggi dan besar dari rakan sebaya dan budak lelaki. Waktu petang kami selalu main cikgu-cikgu dan saya akan jadi cikgu untuk ajar budak-budak lain. Lepas main cikgu-cikgu kami main lumba lari. Masa tu kawan-kawan perempuan tak lari sepantas saya jadi saya selalu bersaing dengan budak-budak lelaki. Kami berlari dari satu pokok ke satu pokok untuk lawan siapa menang,” katanya disusuli ketawa.
Ternyata, kenangan zaman kanak-kanaknya begitu manis untuk dikenang. Begitu juga zaman remaja yang mana sebahagiannya dimanfaatkan dengan memenuhi jadual latihan. Semangat dan keinginan untuk mengharumkan nama negara itu menjadi matlamatnya yang paling utama.
“Terus terang sebagai atlet Malaysia saya amat serius dengan sukan. Saya sanggup korban banyak perkara termasuk pergaulan dengan kawan-kawan. Saya tak ada teman lelaki. Dan saya tak ada masa nak layan orang yang kacau-kacau saya.
“Selepas tamat tingkatan lima saya menyambung pengajian di Maktab Perguruan Seri Kota, Kuala Lumpur sebelum mengajar di Sekolah Menengah Perempuan Jalan Ampang pada 1976.
“Ketika itu saya masih ingat, saya mengajar sesi petang jadi sebelah pagi saya akan naik dua bas dari Sentul ke Kampung Pandan untuk sesi latihan berlari. Saya mandi dan bersiap di sana kemudian naik dua bas lagi untuk ke sekolah di Ampang. Begitulah rutin harian saya sehingga bapa belikan kereta pada tahun kedua saya jadi cikgu.
Berhenti jadi atlet?
Ditanya adakah gelaran atlet telah memberikan pengaruh besar kepada pelajar-pelajarnya, Marina berkata, ia pernah berlaku
“Saya mengajar Bahasa Inggeris dan Pendidikan Jasmani. Semasa saya menang pingat di Sukan Sea 1977, saya disambut dengan sebilangan pelajar perempuan memotong rambut ala rambut saya. Saya betul-betul terharu dan tak sangka ada kelab peminat,” katanya
Pemilik wajah cantik yang menjadi rebutan ramai jejaka ini dikhabarkan tidak lagi meneruskan karier selepas melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat pada 1980, Marina bagaimanapun menafikan.
“Saya masih training dan wakil universiti. Pada 1980 sepatutnya kita pergi ke OLIMPIK tapi Malaysia boikot sebab Rusia masuk Afganistan jadi tak balik Malaysia untuk sebarang kejohanan besar. Pada 1981 saya ke Jepun dan mewakili Malaysia dalam Asia Track & Field dan dapat pingat emas dalam 4 x 400 meter. Kerana alami kecederaan saya tak dapat masuk sukan SEA,” kata graduan Sarjana Muda Sains dan Sarjana Kesusasteraan bidang Pengurusan Sukan ini dari Ohio State University ini.
Marina menyumbang khidmatnya di Kementerian Pendidikan, selain terlibat sebagai aktivis dalam usaha memartabatkan sukan Malaysia.
Pesanan Marina kepada pelajar-pelajar agar sentiasa konsisten dan tidak perlu memilih antara sukan dan pelajaran.
“Lakukan kedua-duanya dengan keyakinan dan pengorbanan tinggi. Saya yakin anda mampu mengembalikan kegemilangan Malaysia dalam sukan sepertimana suatu ketika dahulu,” katanya.
INFO PENCAPAIAN
- March 1972, Marina memperbaharui rekod kebangsaan acara 200 meter dengan catatan 26.6 saat, 0.2 saat mengatasi rekod lama pada Kejohanan Allcomers Persatuan Olahraga Amatur Selangor di Stadium Merdeka.
- Pingat Perak lari berpagar 400 meter Kejohanan Olahraga Asia di Seoul, Korea Selatan.
- September 1972 sekali lagi memperbaharui rekod kebangsaan, acara lari berpagar 100 meter dengan catatan 15.2 saat, serta acara 400 meter lari berpagar dengan catatan 64.9 saat di Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura.
- Meraih emas acara 100 meter lari berpagar dengan catatan 15.3 saat Kejohanan Olahraga Jemputan Filipina di Manila.
- Memperbaharui rekod kebangsaan dengan catatan 28.4 saat dalam acara lari berpagar 200 meter pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Alor Star, Kedah pada Ogos 1976.
- Dinobatkan selaku Olahragawati Kebangsaan dan Selangor untuk dua tahun berturut-turut, 1976 dan 1977.
- Sukan Sea 1977, Marina meraih emas berganda acara 100 dan 200 meter, dan hampir menyamai pencapaian sifunya, M Rajamani dengan meraih emas ketiga jika tidak gara-gara kerana kesilapan pengadilan.
- Pada 1979 pula, gandingan Marina bersama Saik Oik Cum, V.Angamah dan Zaiton Othman menghadiahkan Malaysia pingat Perak acara 4x400 meter pada Kejohanan Antarabangsa Trek & Padang Asia Tokyo.
- Emas acara lari berpagar 100 meter, dan 4x400 meter pada Kejohanan Sukan Sea ke-10 Jakarta.
http://www.sinarharian.com.my/personaliti/marina-manfaat-sukan-zaman-remaja-1.221724
No comments:
Post a Comment