TIGA acara yang akan disertainya pada Sukan Olimpik XXIX di Beijing tidak dianggap satu beban besar buat perenang sensasi negara, Daniel Bego.
Sebaliknya, perenang kelahiran Sarawak berusia 19 tahun itu percaya dengan kemampuan yang ada pada dirinya untuk bersaing dalam acara 200 meter gaya bebas, 100 dan 200m kuak kupu-kupu pada temasya Olimpik yang akan membuka tirainya 8 Ogos ini.
Jelas Daniel, dia masih yakin mampu mara ke separuh akhir walaupun terpaksa mengerah keringat beraksi dalam tiga acara.
"Saya tidak pernah berganjak dengan keputusan ini meskipun ada yang memberi pandangan supaya memberi tumpuan dalam satu acara.
"Apa yang penting saya mahu bekerja keras," kata Daniel selepas majlis penyampaian Anugerah Sukan Kementerian Pelajaran Malaysia-MSSM-Milo di Putrajaya semalam.
Daniel yang juga bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) berkata, dia yakin dengan keputusan untuk menyertai tiga acara tersebut kerana telah berusaha keras untuk melayakkan diri secara merit ke Beijing.
Menurutnya, alasan penat tidak menjadi persoalan kerana acara yang akan disertainya itu tidak dijalankan secara serentak dalam tempoh sehari tetapi dalam tempoh lapan hari.
"Tempoh saringan yang dijalankan selang sehari dan ini akan membantu saya," tambah Daniel.
Daniel turut berjanji akan memberi fokus dalam setiap acara yang disertainya dalam usaha untuk meraih pingat buat kontinjen negara pada temasya kali ini.
Terdahulu, Daniel menerima Anugerah Emas berdasarkan pencapaian cemerlangnya sepanjang tahun lepas termasuk memenangi dua pingat emas, satu perak dan dua gangsa pada Sukan SEA XXIV.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran, Zulkifli Mohd. Wazir berkata, pihaknya sedia menimbangkan insentif kepada pelajar yang berjaya meraih pingat di Beijing.
Katanya, antara insentif itu ialah pemberian hadiah wang tunai, biasiswa dan peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Lima pelajar di bawah Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia (MSSM) yang akan ke Beijing ialah Bryan Nickson Lomas, Elizabeth Jimie, Pandelela Rinong (semua acara terjun), Khoo Cai Lin (renang) dan Azizulhasni Awang Muda (lumba basikal).
No comments:
Post a Comment