Tuesday, July 3, 2012

Play More Learn More bermula


SEBAHAGIAN kanak-kanak bergambar kenangan dengan Marina Chin (tengah) pada majlis pelancaran kem Play More Learn More di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
MILO yang sinonim dengan program pembangunan sukan di peringkat akar umbi di negara ini terus komited dalam usaha untuk mempromosikan budaya sukan dalam kalangan dengan penganjuran edisi ketiga kem Play More Learn More.

Selepas sambutan yang amat menggalakkan terhadap 12 kem sukan menerusi program ini tahun lalu, Milo memulakan tahun 2012 dengan menganjurkan 12 lagi kem sukan dengan memilih Rukun Tetangga (RT) dan Persatuan Penduduk tertentu di seluruh negara sebagai tempat untuk menjayakannya.

Kem pertama tahun ini juga menjadi medan untuk majlis pelancaran kem Play More Learn More yang berlangsung di Taman Mayang Jaya, Jalan SS26/9 Petaling Jaya minggu lalu.

Siri pertama itu disertai 350 kanak-kanak sekolah rendah terdiri daripada pelbagai kaum.

Perasmiannya dilakukan bekas ratu trek negara pada era 80-an yang juga ikon sukan Malaysia dan kini pengetua Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Datuk Marina Chin yang kemudiannya berinteraksi dengan ibu bapa dan kanak-kanak yang terlibat.

Pada kem ini, kanak-kanak diajar tentang kemahiran asas acara sukan seperti futsal, bola keranjang dan ping pong yang dikendalikan oleh jurulatih berkelayakan diikuti dengan karnival pertandingan mini.

Uniknya, kem sukan ini diterajui oleh Milo dan tanggungjawab penganjuran diserahkan kepada Persatuan Penduduk Taman Mayang Jaya di bawah pimpinan pengerusinya, Chan Yee Onn.

Ahli jawatankuasa yang komited telah melakukan tugas yang amat baik dengan sokongan padu Milo.

Di samping itu, ibu bapa juga memainkan peranan mereka sebagai petugas sukarela.

Menurut Pengurus Pemasaran Sukan Nestle Milo, Ng Ping Loong, semua ahli jawatankuasa yang diberi tanggungjawab menganjurkannya telah menunjukkan komitmen yang tinggi bagi memastikan kem ini dijalankan dengan licin.

Menurutnya, kem sukan Play More Learn More ini merupakan satu lagi inisiatif korporat Milo dalam membudayakan nilai-nilai positif sukan dalam kalangan kanak-kanak agar mereka membesar dengan penuh keyakinan menghadapi cabaran hidup.

"Kanak-kanak yang bersukan akan mempelajari pelbagai nilai murni dalam kehidupan mereka. Mereka dapat membina sikap yang positif berdepan masa depan dengan penuh yakin. Mereka juga akan menghargai semangat kesukanan, ketabahan, dedikasi, perpaduan, disiplin dan banyak lagi nilai positif yang akan menjadikan mereka lebih berpersonaliti dan mempunyai karakter yang kuat.

"Sukan adalah satu cara yang efektif untuk mempromosikan semangat patriotik, integrasi dan perpaduan terhadap kanak-kanak ini," katanya.

Semangat gotong-royong yang dipamerkan oleh semua yang terlibat membawa petanda positif dalam membangunkan budaya sukan di peringkat akar umbi.

Sementara itu, Marina Chin dalam ucapannya berkata, Milo sentiasa dekat di hatinya.

"Seluruh hidup saya dicurahkan kepada sukan bermula daripada seorang atlet hinggalah diberi tanggungjawab sebagai pengetua sekolah sukan.

"Saya telah melihat pelbagai kenangan manis di dalam sukan dan saya amat bangga dengan pencapaian saya," katanya.

Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0703&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz2xzBJ2wbW 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment