Thursday, August 21, 2008

Bukan Satu Beban



DANIEL (tengah) diapit penerima anugerah Putera dan Puteri Sukan, Ahmad Amsyar Azman serta Chan Sau Wah pada Anugerah Sukan Kementerian Pelajaran Malaysia-MSSM-Milo di Putrajaya semalam.



TIGA acara yang akan disertainya pada Sukan Olimpik XXIX di Beijing tidak dianggap satu beban besar buat perenang sensasi negara, Daniel Bego.
Sebaliknya, perenang kelahiran Sarawak berusia 19 tahun itu percaya dengan kemampuan yang ada pada dirinya untuk bersaing dalam acara 200 meter gaya bebas, 100 dan 200m kuak kupu-kupu pada temasya Olimpik yang akan membuka tirainya 8 Ogos ini.
Jelas Daniel, dia masih yakin mampu mara ke separuh akhir walaupun terpaksa mengerah keringat beraksi dalam tiga acara.
"Saya tidak pernah berganjak dengan keputusan ini meskipun ada yang memberi pandangan supaya memberi tumpuan dalam satu acara.
"Apa yang penting saya mahu bekerja keras," kata Daniel selepas majlis penyampaian Anugerah Sukan Kementerian Pelajaran Malaysia-MSSM-Milo di Putrajaya semalam.
Daniel yang juga bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) berkata, dia yakin dengan keputusan untuk menyertai tiga acara tersebut kerana telah berusaha keras untuk melayakkan diri secara merit ke Beijing.
Menurutnya, alasan penat tidak menjadi persoalan kerana acara yang akan disertainya itu tidak dijalankan secara serentak dalam tempoh sehari tetapi dalam tempoh lapan hari.
"Tempoh saringan yang dijalankan selang sehari dan ini akan membantu saya," tambah Daniel.
Daniel turut berjanji akan memberi fokus dalam setiap acara yang disertainya dalam usaha untuk meraih pingat buat kontinjen negara pada temasya kali ini.
Terdahulu, Daniel menerima Anugerah Emas berdasarkan pencapaian cemerlangnya sepanjang tahun lepas termasuk memenangi dua pingat emas, satu perak dan dua gangsa pada Sukan SEA XXIV.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran, Zulkifli Mohd. Wazir berkata, pihaknya sedia menimbangkan insentif kepada pelajar yang berjaya meraih pingat di Beijing.
Katanya, antara insentif itu ialah pemberian hadiah wang tunai, biasiswa dan peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Lima pelajar di bawah Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia (MSSM) yang akan ke Beijing ialah Bryan Nickson Lomas, Elizabeth Jimie, Pandelela Rinong (semua acara terjun), Khoo Cai Lin (renang) dan Azizulhasni Awang Muda (lumba basikal).

Friday, August 1, 2008

Ahmad Amsyar, Sau Wah Julang SSBJ


PUTRAJAYA – Dua pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Ahmad Amsyar Azman dan Chan Sau Wah diumumkan Putera dan Puteri Sukan pada Anugerah Sukan Kementerian Pelajaran MSSM-Milo 2007 sekali gus meneruskan penguasaan atlet dari sekolah berkenaan sejak beberapa tahun lalu.

Ahmad Amsyar memenanginya atas pencapaian satu emas dan satu perak akuatik terjun papan anjal Kejohanan Peringkat Umur Asia di Jakarta, tiga gangsa Festival Olimpik Belia Australia di Sydney dan dua perak Kejohanan MSSM selain pernah bergelar Olahragawan Harapan SSBJ.

Sau Wah pula diiktiraf atas pencapaiannya ah memungut sebutir emas, sebutir perak dan sebutir gangsa gimnastik artistik Sukan SEA Korat; dua perak, dua gangsa Terbuka Vietnam; tempat kesembilan dan ke-10 Piala Dunia di Shanghai dan dua emas, satu gangsa Kejohanan Kebangsaan.

Kejayaan Ahmad Amsyar bergelar Putera Sukan turut mengulangi pencapaian penerjun negara yang berpengalaman dua Sukan Olimpik 2004 dan 2008, Bryan Nickson Lomas yang melakukannya pada 2004 selain Farah Begum Abdullah sebagai Puteri Sukan 1999.

‘‘Saya tujukan kejayaan ini dan berterima kasih khususnya kepada bapa dan ibu, Azman Hassan dan Rozita Ibrahim selain jurulatih dari China, Can Wein. Inilah yang terbesar dan amat membanggakan saya sejak menceburi sukan terjun ketika tahun enam.

“Anak jati Kangar, Perlis yang lebih menggemari acara 1m papan anjal dan meminati penerjun China, He Chong ini menambah, anugerah itu memberikan perangsang yang lebih kuat dalam mencapai cita-citanya, menyertai Sukan Olimpik 2012 seperti yang dilakukan oleh Bryan,’’ kata Ahmad Amsyar.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pelajaran, Zulkifli Mohd. Wazir berkata, kementerian bersedia memberikan ganjaran lain kepada atlet pelajar sekolah yang berjaya membawa pulang sebarang pingat Sukan Olimpik Beijing sebagaimana yang dilakukan bagi Sukan SEA Korat tahun lalu.

“Ia bagaimanapun bergantung kepada kelulusan permohonan kami kepada Perbendaharaan tetapi bagi Sukan SEA lalu, kami berikan RM1,000 kepada pemenang emas, RM700 perak dan RM500 gangsa malah kami mempunyai skim biasiswa MSSM tertentu untuk atlet pelajar yang cemerlang melanjutkan pelajaran,” ujarnya.

Lima atlet pelajar sekolah yang bertanding di Beijing ialah Bryan Nickson Lomas, Elizabeth Jimie, Pandelela Rinong ( terjun), Khoo Cai Lin (renang) dan Azizulhasni Awang (berbasikal).